Musim Gemilang JDT

Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2022 dengan misi lebih besar selepas kecewa tewas di pentas final Piala Malaysia 2021.

JDT membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkuatkan skuadnya pada musim 2022. Antara pemain yang dibawa masuk termasuklah bekas penyerang Udinese, Fernando Forestieri dan pertahanan tengah Indonesia, Jordi Amat.

Percaturan pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim membuahkan hasil apabila JDT menamatkan musim 2022 dengan penuh gemilang.

Banyak kejayaan serta penanda aras yang dicapai oleh JDT sepanjang musim 2022.

Skuad utama JDT mencipta sejarah apabila berjaya menjadi pasukan pertama yang merangkul trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut, sekali gus mencapai matlamat untuk merangkul 'triple hattrick'.
Musim ini juga JDT melakar sejarah baharu apabila menjadi pasukan pertama Liga-M yang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC.

Tidak berhenti di situ, JDT turut menyapu bersih semua trofi dalam saingan domestik musim ini apabila berjaya memenangi Piala FA, TM Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

JDT juga mencipta sejarah tersendiri apabila tidak tewas dalam kesemua 35 perlawanan domestik musim ini.

Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva turut melakar kejayaan peribadi serta kelab apabila menjaringkan 46 gol dalam 36 perlawanan musim ini.

Malah, Bergson turut diiktiraf oleh media antarabangsa sebagai penyerang yang memiliki purata gol tertinggi berbanding Kylian Mbappe, Erling Haaland serta Robert Lewandowski.

Tambah manis, Akademi JDT juga menamatkan musim 2022 dengan 11 trofi, sekali gus merekodkan pencapaian lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara kejayaan yang dicapai oleh Akademi JDT adalah juara Piala Presiden buat kali pertama serta memenangi Liga Premier Malaysia.
Akademi JDT juga melahirkan ramai bakat-bakat muda musim ini seperti Feroz Baharudin dan K. Daryl Sham. Daryl muncul sebagai penjaring tempatan terbanyak untuk Liga Premier apabila menyumbat sembilan gol musim ini.

Selain itu, Akademi JDT juga meraih pengiktirafan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) di bawah AFC Elite Youth Scheme.

JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak di Malaysia yang dianugerahkan status berkenaan. Akademi JDT menerima akreditasi pada Mac 2022 selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh AFC.

Susulan prestasi yang memberangsangkan sepanjang musim ini, para pemain JDT turut merangkul pelbagai anugerah peribadi ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang berlangsung pada Disember 2022.

Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya meraih tiga anugerah bagi kategori Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan semestinya, Pemain Paling Bernilai (MVP).
Shahrul Saad pula merangkul anugerah Pertahanan Terbaik; Afiq Fazail meraih anugerah Pemain Tengah Terbaik dan Bergson da Silva dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik.

JDT turut menerima anugerah bagi kategori Pasukan Terbaik.

Di sebalik kejayaan di dalam padang, JDT turut meraih kejayaan di luar padang sepanjang 2022.

Pada 26 September 2022, JDT menjadi kelab pertama di Malaysia yang menjalinkan kerjasama dengan Socios.com iaitu sebuah platform aplikasi yang menjadi penghubung serta memberi peluang ganjaran kepada para penyokong.

Menerusi kerjasama ini, para penyokong JDT boleh menebus ganjaran menerusi $JDT Fan Tokens di Socios.com.
JDT turut mengembangkan gagasannya dalam bidang muzik apabila menjalinkan kerjasama dengan Universal Music South East Asia (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA.

Susulan kerjasama itu, JDT berjaya mengeluarkan lagu rasmi kelab itu berjudul 'Pioneers' bagi tahun 2022. Tambah menarik, lagu itu dinyanyikan oleh ikon hip-hop global, Snopp Dogg serta penyanyi rap terkenal Malaysia iaitu Joe Flizzow.

Lagu tersebut memberi gambaran tentang mentaliti kemenangan, inovasi, disiplin dan kecemerlangan skuad Harimau Selatan di peringkat tertinggi.

Penghasilan lagu tersebut berjaya menarik minat para peminat dan media tempatan sejak dikeluarkan.
Stadium rasmi JDT, Stadium Sultan Ibrahim turut menempatkan tiga cawangan makanan segera bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada para pengunjung pada 2022.

Tiga restoran berkenaan iaitu Woodfire, KFC serta Subway membuka cawangannya di Stadium Sultan Ibrahim bermula 2022.
Pengurusan JDT turut mengambil perhatian serius tentang segala penaiktarafan infrastruktur di Stadium Sultan Ibrahim.

Langkah itu penting bagi memastikan keselesaan para penyokong serta pemain ketika berada di stadium.

Antara kerja-kerja penaiktarafan yang dilakukan adalah penukaran karpet biru dan hijau, mengecat tangga, laluan pejalan kaki dan dinding serta beberapa penambahbaikan lain di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT turut membina 'hut' bersaiz separuh padang bola sepak untuk menyimpan pasir, baja dan bahan-bahan penyelenggaraan lain yang digunakan untuk memastikan keadaan padang Stadium Sultan Ibrahim berada pada tahap terbaik.

'Hut' ini yang terletak bersebelahan stadium akan mengurangkan kesan pencemaran kepada bahan-bahan yang digunakan untuk penjagaan padang Stadium Sultan Ibrahim kerana bahan-bahan tersebut akan terlindung dari hujan dan sisa haiwan.

Selain itu, JDT juga menaik taraf padang ‘cow grass’ Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos kepada rumput jenis Zeon Zoysia yang sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim.

Penaiktarafan turut dilaksanakan di padang-padang bola di Stadium Pasir Gudang dan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam kepada rumput jenis yang sama.

JDT turut memiliki fasiliti bertaraf dunia seperti fasiliti perubatan dan pusat latihan bagi para pemain skuad utama serta akademi bagi memastikan kebajikan para pemain selain pembangunan akar umbi dapat dilaksanakan dengan teratur dan sistematik.

Fasiliti dan kawalan kualiti yang terbaik menjadi faktor utama AFC memilih Johor Bahru sebagai tuan rumah saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC.
Kehadiran JDT dalam platform media sosial pada tahun ini turut dirasakan. JDT begitu aktif di semua platform media sosial termasuklah Facebook, YouTube, Twitter dan Instagram.

Strategi seperti ini penting bagi memastikan para peminat dapat menerima segala informasi terkini berhubung JDT dari semasa ke semasa.

Sudah pasti musim gemilang ini mahu diulangi pada musim akan datang dan JDT bukan pasukan yang selesa dengan sesuatu kejayaan ketika ini tetapi turut dahaga untuk melakar lebih banyak kejayaan.

Comments

Popular posts from this blog

Istana Woodneuk Di Singapura Milik Tunku Ismail

Singapore’s ‘Crazy Rich Asians’ estate up for luxury rebuild

SNBJ: Satu Episod, Banyak Pengajaran – Pemikiran, Dedikasi TMJ Terhadap Bola Sepak