Johor Terus Lakar Kemajuan Di Bawah Pemangku Sultan Johor
Negeri Johor telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang gemilang sepanjang tujuh bulan pertama 2025.
Di sebalik kejayaan ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memainkan peranan penting sebagai pemangkin utama.
Menerusi visi yang jelas dan komitmen terhadap pembangunan negeri, Baginda telah memimpin Johor ke arah menjadi pusat ekonomi, destinasi pelaburan dan model pembangunan mampan.
Usaha berterusan Tunku Mahkota Ismail dalam memajukan Johor meletakkan Baginda sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan mengambil berat tentang kesejahteraan Bangsa Johor.
SUMBER: https://www.utusan.com.my/rencana/2025/05/dasar-maju-johor-bangunkan-negeri-secara-menyeluruh-inklusif/
Salah satu pencapaian terbesar Johor pada 2025 adalah mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia, dengan jumlahnya mencecah RM30.1 bilion pada suku pertama tahun ini.
Angka tersebut bukan sekadar statistik, tetapi cerminan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor.
Sektor seperti farmaseutikal, teknologi maklumat, kecerdasan buatan, pembuatan dan semikonduktor menjadi tumpuan para pelabur, membuka peluang kepada 33,000 pekerjaan baharu.
Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor sebanyak 6.4% pada 2024, menyerlahkan momentum ekonomi negeri berkenaan.
Baginda memainkan peranan penting dalam mempromosikan Johor sebagai hab pelaburan serantau.
Pemangku Sultan Johor kerap menekankan pentingnya pelaburan yang strategik dan inklusif, memastikan setiap projek menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan jangka panjang.
SUMBER: https://www.edisi9.com.my/2025/06/johor-catat-pelaburan-tertinggi-negara-suku-pertama-2025/
Satu lagi pencapaian monumental adalah pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Januari 2025.
Meliputi kawasan lebih 3,500 kilometer persegi, zon ekonomi khas itu dijangka lebih empat kali lebih besar daripada Singapura dan hampir dua kali ganda saiz Shenzhen di China.
Zon tersebut akan mewujudkan sebanyak 100,000 pekerjaan baharu.
Selain itu, Johor menyasarkan untuk meningkatkan KDNK dari RM148.2 bilion (2023) kepada RM260 bilion menjelang 2030, memerlukan kadar pertumbuhan tahunan 8.4% menerusi pelaksanaan zon terbabit.
Pemangku Sultan Johor telah menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan untuk memanfaatkan kedudukan strategik Johor khususnya bersama Singapura.
JS-SEZ bukan sahaja meningkatkan pelaburan dalam negeri, tetapi juga memacu pembangunan infrastruktur dan pelancongan Johor.
Pencapaian berkenaan telah menjadikan Johor sebagai model penting di negara ini bagi kerjasama ekonomi serantau.
SUMBER: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1425391/js-sez-tonggak-utama-ekonomi-johor-hasil-kerjasama-persekutuan-dan
Johor telah melaksanakan 164 projek pembangunan fizikal, kebajikan masyarakat, bandar pintar dan rumah mampu milik dengan peruntukan melebihi RM350 juta.
Antara projek tumpuan termasuk pemulihan Bangunan Sultan Ibrahim, Zoo Johor Fasa 2, Hutan Bandar Johor Bahru dan Taman Tasik Merdeka.
Pemangku Sultan Johor sering memastikan projek-projek itu dilaksanakan dengan berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan rakyat.
Baginda turut kerap memastikan setiap projek itu disiapkan mengikut jadual supaya semua rakyat dapat menikmati kemudahan yang berimpak positif dengan kadar segera.
Usaha penyelesaian banjir juga menjadi keutamaan Pemangku Sultan Johor.
Sebanyak 88 projek bernilai RM93 juta dilaksanakan di kawasan seperti Kampung Mohd Amin dan sekitar KSL, Johor Bahru.
Baginda telah menegaskan pentingnya penyelesaian jangka panjang dengan memastikan peruntukan dana dalam infrastruktur saliran dan kolam takungan berupaya mengurangkan impak banjir terhadap rakyat negeri itu.
SUMBER: https://www.beritaharian.sg/malaysia/lebih-rm350-juta-diperuntuk-bagi-164-projek-bandar-dan-perumahan-di-johor
Isu pendidikan merupakan keutamaan penting bagi Pemangku Sultan Johor sejak awal lagi.
Pemangku Sultan Johor menunjukkan komitmen dalam memastikan pendidikan sebagai antara tunjang utama pembangunan negeri.
Cetusan ilham Pemangku Sultan Johor iaitu Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) seperti SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang, telah mengharumkan nama Johor di pentas antarabangsa dengan memenangi pertandingan inovasi Global Link Singapore 2025.
Kejayaan itu menjadi manifestasi kepada kejayaan Johor dalam mewujudkan sistem pendidikan berkualiti menerusi SRBJ yang diilhamkan oleh Baginda.
Melalui kejayaan seperti ini, Johor terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju pendidikan berkualiti di Malaysia dan SRBJ bakal menjadi model untuk negeri-negeri lain.
SUMBER: https://mediadigitaljohor.gov.my/sekolah-rintis-bangsa-johor-harumkan-nama-johor-di-pentas-antarabangsa/
Pencapaian Johor dari Januari hingga Julai 2025 adalah bukti kepimpinan dinamik Pemangku Sultan Johor.
Baginda telah menekankan visinya terhadap pelaburan negeri, pembangunan infrastruktur, transformasi digital dan sebagainya.
Pendekatan Baginda yang mengutamakan kepentingan rakyat telah menjadikan Johor sebagai model pembangunan di Malaysia.
Menerusi visi Maju Johor 2030, Johor di bawah pimpinan Pemangku Sultan Johor akan terus mencatatkan kejayaan yang membanggakan.
Comments
Post a Comment