Kepimpinan Seiring, Johor Terus Melonjak
Johor kini berdiri sebagai mercu tanda kemajuan Malaysia. Langit negeri itu dihiasi pencakar langit moden, pelabuhan yang sentiasa sibuk dengan kapal-kapal perdagangan, dan kian menuju ke arah hab teknologi serantau.
Transformasi pesat berkenaan bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada sinergi kukuh antara Keluarga Diraja Johor dan Kerajaan Negeri Johor.
Tiga tokoh utama berada di barisan hadapan kepimpinan iaitu Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim; Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Kepimpinan negeri yang diterajui oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut telah melonjakkan reputasi Johor daripada berstatus pemain serantau kepada kuasa ekonomi utama Malaysia, dengan rekod pertumbuhan, pelaburan besar serta projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sultan Ibrahim, yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2024, terus memainkan peranan penting dalam hala tuju Johor.
Baginda dikenali sebagai seorang raja yang berwawasan menerusi antara sumbangannya adalah projek JS-SEZ yang menarik pelaburan asing sebanyak berbilion ringgit serta mewujudkan ribuan pekerjaan di negeri itu.
Sultan Ibrahim turut lantang menyokong projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura, yang dilihat mampu meningkatkan integrasi serantau dan menjadikan Johor sebagai penerima manfaat utama kerana kedudukan strategiknya di sempadan negara.
Selain pembangunan ekonomi, Sultan Ibrahim turut sering menekankan kepentingan perpaduan rakyat Johor yang berbilang kaum sebagai asas kestabilan jangka panjang.
Pendekatan inklusif ini telah mewujudkan keharmonian sosial yang menjadi tonggak kepada kemakmuran Johor.
Legasi Sultan Ibrahim tidak terhenti kepada pembangunan ekonomi dan perpaduan kaum sahaja. Melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Baginda menunjukkan komitmen mendalam terhadap kebajikan rakyat.
Antaranya, pada 2023, Sultan Ibrahim mengurniakan 10,000 paket beras percuma kepada golongan miskin.
Program tersebut diteruskan dengan ribuan bakul makanan diagihkan sepanjang 2024 dan 2025, termasuk kepada masyarakat Orang Asli dan mereka yang memerlukan di seluruh Johor.
Baginda sering menegaskan bahawa rakyat mesti sentiasa didahulukan kerana mereka adalah tunjang kepada kesejahteraan serta pembangunan negeri Johor.
Sumbangan kebajikan itu membuktikan bahawa Sultan Ibrahim bukan sahaja seorang pemimpin berwawasan dalam pembangunan ekonomi, tetapi juga pelindung rakyat yang sentiasa memastikan keperluan asas, keselamatan, dan kesejahteraan sosial diberi perhatian.
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2325655
Sejak mengambil alih kepimpinan negeri Johor sebagai Pemangku Sultan Johor pada 2024, Tunku Mahkota Ismail telah menyuntik tenaga muda dan pandangan strategik dalam pentadbiran negeri.
Baginda lantang memperjuangkan reformasi ekonomi, pendidikan dan infrastruktur, serta mengisytiharkan 2026 sebagai 'tahun penting' bagi Johor.
Di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail, Johor Johor mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4% pada 2024, tertinggi di Malaysia serta menarik RM91.1 bilion pelaburan komited pada suku ketiga 2025.
Baginda turut memacu pembangunan JS-SEZ dengan sasaran lebih 50 projek dan lebih 20,000 pekerjaan tenaga mahir dalam tempoh lima tahun, menjadikan Johor sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan pusat data serantau.
Dalam aspek pembangunan belia dan pendidikan, Baginda komited menubuhkan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) untuk memberi platform kepada golongan muda melakukan pelbagai aktiviti selain merupakan pencetus idea kepada pembentukan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) menerusi peruntukan sebanyak RM27 juta.
Baginda juga sering menegaskan Johor perlu dilayan sebagai 'rakan' oleh Kerajaan Persekutuan dan sebelum ini berulang kali mencadangkan agar hasil cukai dikembalikan kepada Johor untuk pembangunan di negeri berkenaan.
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tunku-mahkota-ismail-rasmi-tmiyc-muar-491473
Sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac 2022, Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah membuktikan komitmennya dalam kepimpinan negeri dan sentiasa berorientasikan hasil atau manfaat kepada rakyat.
Johor mencatatkan hasil negeri sebanyak RM2.67 bilion pada 2025, tertinggi pernah direkodkan serta pelaburan bernilai RM113.7 bilion dalam dua tahun pertama pentadbiran beliau.
Antara pencapaian utama Onn Hafiz termasuklah menaik taraf jalan raya sepanjang 444 kilometer di Johor, melaksanakan program Southern Volunteers yang melibatkan kira-kira 15,000 orang belia serta memperkenalkan bengkel keusahawanan dalam talian untuk memperkasakan generasi muda.
Beliau juga memacu Pelan Pemulihan Pelancongan Johor, yang selari dengan Tahun Melawat Johor bagi merancakkan sektor pelancongan negeri berkenaan.
Hubungan rapat beliau dengan pihak istana memastikan dasar Kerajaan Negeri Johor selaras dengan visi Keluarga Diraja Johor.
Pada 2025, beliau menerima pengiktirafan Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF) atas sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan serantau khususnya melibatkan Johor dan Singapura.
https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/01/01/johor-achieves-record-revenue-of-rm267bil-for-2025
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1299323/visit-johor-2026-dilancarkan-secara-rasmi
Kejayaan Johor dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi atau pelaburan asing semata-mata, tetapi lebih kepada sinergi unik antara Keluarga Diraja Johor dan Kerajaan Negeri Johor.
Hubungan erat ini telah menjadi pemangkin utama kepada kestabilan politik, keberkesanan pentadbiran dan kelancaran pelaksanaan projek-projek besar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sultan Ibrahim menyediakan visi strategik yang berakar kepada tradisi Johor, namun tetap berpandangan jauh ke hadapan dengan menekankan pembangunan moden dan lestari.
Tunku Mahkota Ismail pula bertindak sebagai jambatan antara visi Keluarga Diraja Johor dan hal ehwal pentadbiran, memastikan dasar yang digariskan selaras dengan keperluan semasa rakyat dan cabaran global.
Manakala, Onn Hafiz melengkapkan garisan kepimpinan berkenaan dengan pentadbiran yang dinamik, menterjemahkan arahan Keluarga Diraja Johor kepada polisi yang praktikal kepada rakyat Johor.
Kerjasama ini nyata dalam bentuk mesyuarat mingguan antara Keluarga Diraja Johor dan Kerajaan Negeri Johor.
Isu-isu besar seperti pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat, keselamatan dan pendidikan dibincangkan secara teliti.
Hasilnya, setiap keputusan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat Johor.
Lebih penting, kerjasama erat ini telah berjaya mengelakkan konflik antara istana dan kerajaan negeri yang pernah berlaku dalam sejarah negeri-negeri lain.
Memahami visi dan misi bersama iaitu pembangunan mampan serta kesejahteraan rakyat, Johor kini menjadi model tadbir urus yang dicemburui negeri lain di Malaysia.
Sinergi ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan pelabur, tetapi juga meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.
Apabila Keluarga Diraja Johor dan Kerajaan Negeri Johor bergerak seiring, setiap dasar serta projek yang dilaksanakan memberikan pulangan atau hasil yang besar kepada Johor.
Inilah yang menjadikan Johor unik, sebuah negeri yang menggabungkan tradisi dan kemajuan moden untuk menghasilkan kepimpinan yang stabil, progresif dan berkesan.
Comments
Post a Comment